September 12, 2011

KONGSI TIPS DARI ZSD BRIDAL BOUTIQUE- RANCANG PERBELANJAAN KAHWIN..

Kebanyakan pasangan yang ingin melansungkan perkahwinan mengambil jalan mudah dengan membuat pinjaman peribadi bagi menampung perbelanjaan. Adakah langkah berkenaan sesuatu yang perlu dilakukan pada zaman sekarang?

Pinjaman peribadi pada zaman sekarang adalah sesuatu yang mudah didapati dan kebanyakan institusi kewangan menawarkan kemudahan ini. Namun, saya tidak melihat ia sebagai sesuatu yang baik kerana hanya akan menyusahkan peminjam di kemudian hari.
Pada pandangan saya, meminjam duit untuk menjana duit yang lebih banyak adalah sesuatu yang bijak. Namun, sekiranya membuat pinjaman semata-mata untuk membelanjakannya adalah sesuatu yang merugikan.Tetapi, disebabkan keadaan mendesak, terdapat segelintir pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan terpaksa membuat pinjaman peribadi.

Adakah cara lain untuk mendapatkan wang bagi melangsungkan perkahwinan selain membuat pinjaman peribadi?

Selain membuat pinjaman peribadi, pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan masih boleh mengumpul wang secukupnya untuk hari bahagia mereka.Malah, jika konsisten dan mampu menahan diri daripada membelanjakan gaji bulanan untuk perkara yang tidak penting, mereka yang mempunyai gaji minimum RM1,000 boleh mengumpul sehingga RM15,000 dalam tempoh kurang dua tahun.Bagaimanapun, terdapat perkara yang perlu dipatuhi untuk memastikan proses mengumpul duit dapat dilakukan dengan sempurna.Langkah pertama adalah dengan mengawal perbelanjaan serta mengelak diri daripada membelanjakan wang untuk perkara yang kurang penting seperti menonton wayang, melancong, berkaraoke atau membeli perabot tidak perlu. Selain itu, bakal pengantin juga perlu mengelak daripada menambah hutang atau membuat hutang baru seperti membeli kereta atau berbelanja menggunakan kad kredit.

Selain mengikut saranan yang diberi, apakah cara lain untuk membantu bakal pengantin mendapatkan wang mencukupi?

Perkara utama yang harus dilakukan adalah dengan menukar gaya hidup masing-masing. Jika selama ini kebanyakan individu hanya membuat simpanan selepas berbelanja, maka mereka perlu mengenepikan kira-kira 10 peratus daripada gaji diterima untuk simpanan. Selepas membuat bayaran bil utiliti, mereka perlu menyimpan untuk diri sendiri.

Apakah saranan yang boleh diberi kepada mereka yang ingin melangsungkan perkahwinan tanpa membuat pinjaman peribadi?

Walaupun agak sukar mengumpul wang, tindakan mengumpul duit sendiri bagi melangsungkan perkahwinan adalah sangat bijak. Ini kerana kebanyakan pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan tidak mengetahui cabaran selepas selamat diijabkabulkan. Cabaran mengumpul wang menjadikan seseorang itu lebih matang dan menghargai wang yang dimiliki. Tetapi sekiranya mereka mengambil keputusan membuat pinjaman, maka pada masa akan datang kemungkinan untuk membuat pinjaman lain boleh terjadi.

Apakah nasihat untuk mereka yang ingin berusaha mengumpul wang sendiri bagi melangsungkan perkahwinan.
  
Apa yang paling penting adalah mengukur baju di badan sendiri. Jangan berbelanja di luar kemampuan atau menginginkan majlis yang luar biasa atas alasan perkahwinan itu sekali dalam seumur hidup. Berbelanjalah secara sederhana mengikut kemampuan anda. Malah, kami  juga menasihatkan  bagi mereka yang mempunyai niat untuk mendirikan rumah tangga agar merancang dari awal kerana ia akan menentukan perbelanjaan yang akan dikeluarkan.